Thursday, September 17, 2009

Sumpahan September

Kerana aku pernah susah, aku tahu nilai sedekah bukan pada sebesar mana rm yang dihamburkan, tapi berapa besar nilainya pada penerima ketika itu. Seorang pengampu mungkin memberi sumbangan RM500k kepada menteri, tetapi hadiah itu tidak terbanding walau sebesar hama dengan seorang buruh yang menghulurkan RM2 kepada seorang fakir yang sudah sehari santak tak makan.

Begitu juga, kegembiraan mandi Sunway Lagoon atau melancong bersama kawan-kawan mungkin akan sentiasa harum dalam ingatan dan buat kita tersengih bila mengingatnya.

Tapi percayalah pada aku; ingatan manis itu tak mungkin sama bila mengenang kawan yang pernah sudi membuang sedikit masa untuk mendengar keluh kesah kita di saat dia paling diinginkan.

Terima kasih kawan (u know who u are).

Dan bekas bos yang sudi memberi duit raya juga : )

Tuesday, September 15, 2009

Hadiah

Sudah lama saya tak update blog. Di rumah, saya tak selesa melayari blog. Di pejabat, bos tidak bagi pekerjanya melayari facebook dan blogspot pada waktu kerja. Tak apa, itu bukan isu.

Hari ini hari istimewa saya. Tengah hari tadi saat matahari terpacak di kepala, saat itulah saya menjengah dunia 29 tahun lalu. Ada orang tak mahu bagi tahu masa kelahiran atas sebab tertentu. Ini termasuklah seorang penyanyi terkenal yang sanggup ‘memalsukan’ masa kelahiran anak sebab katanya orang boleh buat perkara tak elok kalau tahu masa itu. Oh, saya dah mula melalut.

Hari ini hari istimewa saya. Menjelang hari ini, banyak yang sudah saya lalui dalam hidup ini. Banyak yang belum dicapai untuk esok, tapi biarlah saya memandang yang indah-indah belaka, yang sudah saya ada pada hari ini. Memang kata orang kalau nak berjaya jangan mudah berpuas hati dengan apa yang kita ada tapi suka hati saya ya, ini hari istimewa saya.

Tapi dalam pada gembira, ada juga perkara sedih yang berlaku. Antaranya saya dihubungi seorang perempuan gila. Dia cuba mengulangi sejarah tahun lepas. Dia mahukan saya bersedih pada hari lahir saya. Berjayakah dia?

Dia berjaya, tapi tak seberjaya tahun lepaslah.

(Still, tahniah kat dia).

‘Aida, ingat apa pun berlaku saya sayangkan anda.’

(Selamat Hari Lahir diri).

Monday, March 23, 2009

Antusiasme




Menggelinjat.
Terima kasih jiran!


Friday, March 13, 2009

Perkara ajaib nombor 3

Aku tak fikir akan jumpa lagi lelaki sehebat abang, sekurang-kurangnya untuk tempoh yang sangat lama (kalau tak jumpa pun lagi bagus.)

Kata abang, ada 3 perkara ajaib pernah berlaku dalam hidup. 1, baik dari penyakit gila. 2, pergi umrah tak guna duit sesen pun. 3, dilamar untuk jadi suami (sedangkan abang dah ada 3 isteri). Gila kan.

Lagi gila, isteri-isteri abang masih tersenyum manis dan manja setiap kali wajahnya muncul di depan tangga.

Sementara abang bercerita tentang bakal nombor 4, yang nombor 1 menghidangkan kami teh o ais manakala yang nombor 2 menjamu mi rebus. Kata abang: Kakak kau kalau masak letak cili boh dengan air je la jawabnya.. (pun masih dibalas cubitan manja nombor 2).

Sejurus kemudian datang dua budak perempuan. Kata abang, tu anak dari nombor 1 dan nombor 2, sama baya. Dua-dua salam abang dengan tertib, cium pipi sebelum berpaut bahu pergi sekolah. Gila tak gila la.

Sebenarnya ada cerita bagaimana yang nombor 4 datang bergolek pada abang (tapi dia minta kami off record). Cakap saja peminat setia, katanya.

Selesai menghirup mi rebus nombor 2 dan menghabiskan sisa teh o ais nombor 1, kami meninggalkan abang dan nombor 2 di tepi rumah nombor 1 berpeluk-peluk pinggang balik ke rumah.

Nombor 3? Rumahnya tak jauh dari nombor 1 dan nombor 2 juga tapi dia mungkin sedang berehat sebab letih membawa kandungan yang kian sarat.

Wednesday, March 11, 2009

Gengsi

Semalam meredah hujan malam, bertemu Muchlis.

Muchlis berasal dari Makassar, tapi berkahwin dengan orang Menado, lalu terus diam di sana. Dari Muchlis, baru aku tahu di Menado, 90 peratus penduduk di sana beragama Kristian; kebanyakannya Protestant manakala muslim cuma sepuluh peratus. Keluarganya termasuk dalam angka kecil itu.

Pun begitu, di sana aman. Canggung daripada senario biasa di negaranya, pada Hari Raya puak Kristian akan menjaga kawasan masjid sementara saudara kita di sana bersembahyang manakala apabila Hari Natal, perkara sebaliknya berlaku.

Satu yang menarik, orang di sana kata Muchlis gengsi sekalik. Mereka mempunyai rasa malu yang menebal hinggakan jika miskin sekalipun, pakaiannya tidak mau kalah hingga orang takkan tahu mereka miskin.

Di sana juga, seafood sangat murah tapi itu tidak menghalang orangnya memiliki selera yang besar. Hinggakan, semua binatang mereka makan termasuk kucing, tikus.. atau apa sahaja. Anjing? Ah, itu hidangan yang terlalu common kata Muchlis!
Selorohnya dalam serius, di Makassar jika bertembung kucing sewaktu memandu mereka akan pulang atau menukar kenderaan lain kerana percaya kecelakaan bakal menimpa. Tapi jika di Menado, jika bertemu kucing langsung akan diangkat, dibawa pulang dan dimasak.

"Loh.. kalo begitu ketemu kucing di Makassar membawa malang kepada pemandu tetapi jika di Makassar, kucing itu yang celaka ya?"
Kami semua tertawa sambil menjuntai sate gombak yang tinggal separuh di birai mangkuk berisi kuah kacang. Muchlis ketawa paling kuat.
Ah. Sama ada aku memang lucu atau (dia mahu menutup jengkelnya mendengar bahasa indon aku yang mantop).

Saturday, November 08, 2008

Ayah

Sunday, 27 June 2007
My Bad

Hanya tuhan tahu, berapa kali aku mahu menulis tentang ayah, namun memadamkan niat itu kerana aku tidak mahu menjadi manusia yang terlalu beremosi.

Ayah, ketika aku kecil adalah manusia yang memberi kasih sayang terunggul dalam hidup. Persepsi itu berubah apabila aku mempunyai adik kerana konsep ayah dalam memberi hukuman, yang besarlah yang salah apabila kami adik beradik bertengkar.

Kerana ayah tidak segarang emak, dialah yang mengajar aku menjadi manusia 'lemak'. Kalau dengan emak aku takut dicubit jika terkurang ajar, aku tega mendiamkan diri dan berjalan kaki ke sekolah walaupun ayah berulangkali memanggil nama aku dengan penuh kasih sayang ketika aku merajuk tidak diberikan wang untuk membeli buku cerita.

Ketika tadika aku pernah menangis mahu berhenti sekolah dan ayah hampir-hampir mahu menuruti kehendak tak senonoh aku tu kerana tidak sanggup mendengar aku merengek (ya, mujurlah ada emak).

Ketika emak membuntangkan mata apabila aku menangis kerana tidak pandai melukis pokok, ayah dengan rela hati melukiskannya dengan lawa.

Apabila aku menangis di telefon mengadu aku tidak mahu lagi tinggal di asrama (kerana takut hantu), ayah bergegas datang mengambil aku pulang.

Ah, terlalu banyak memori soal kasih sayang ayah.

Dan aku, anak yang tidak sedar diri ini, kian hari kian besar dan makin lama makin jauh dari ayah. Mungkin kejauhan itu aku cipta selepas mendapat malu dirotan ketika memakai seluar pendek di depan kawan ayah dalam usia 11 tahun, atau mungkin juga kerana ayah yang mula mengasingkan diri dari kami, entahlah.

Hari ini, hati aku luluh bila mengenangkan kembali bagaimana ayah gemar duduk menyeorang di tingkat atas rumah kami walaupun ketika itu kami adik beradik pulang ke rumah.

Aku pernah terfikir bagaimana ayah boleh hidup dengan membuang pandangan ke luar tingkap sedangkan kami bergelak tawa di bawah.

Sedangkan, kami pernah membesar bersama lelucon ayah. Jauh dalam hati aku tahu ada sesuatu yang tidak kena, namun selaku anak yang mementingkan diri aku tidak pernah bertanya, sekali pun tiap kali balik aku cuba untuk melayan ayah seperti biasa.

Satu-satunya terapi yang paling mujarab untuk aku menghilangkan masalah yang berlumut dalam fikiran ialah sajak. Dan aku, pernah cuba untuk membuat itu apabila mengenangkan ayah, namun tidak berjaya. Kerana setiap kali aku mengenang ayah, aku merasa sangat gagal.

Ketika pulang beraya lepas, ayah tiba-tiba menjadi lain. Ayah tiba-tiba bercerita kepada aku dan abang, sesuatu yang sudah lama dia simpan. Sekali lagi, hanya tuhan yang tahu apa yang aku rasa seusai cerita ayah. Demi tuhan, dialah lelaki paling penyabar dalam dunia aku!

Terlalu banyak kisah di bawah selimut yang menutup hidup ayah hingga dia tidak lagi menjadi seperti dahulu. Dan sudah tentu, ia akan terus menjadi lumut-lumut tebal dalam fikiran ini (dan aku akan terus-terusan merasa gagal). Aku harap, tuhan akan memberi masa untuk aku menyelesaikan perkara ini (sudah tentu, bukan dengan sajak!)

Tadi. Sebaik mendengar abang menangis dalam telefon, aku tahu, kaki ayah tidak dapat diselamatkan lagi. Aku kembali terkenang kata-kata ayah, "Kalau tahun ini tak selesai juga masalah, ayah nak kembali ke Kedah."

Minggu lepas, aku melihat pandangan mata ayah yang bersedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa ketika rumah kami dicat lantaran luka pembedahan memotong jari kakinya yang belum sembuh. Kata Baen, ayah berulangkali mengucapkan kekesalan kerana sakit di saat anak-anak pulang dan aku memerlukannya.

Dan hari ini? Ah. Aku dapat melihat mimpi ayah menjadi pecah berkeping-keping. Pandangan matanya yang kelabu, merenung jauh ke langit tertancap kukuh dalam otak ini dan aku tidak fikir ia akan hilang dengan mudah.

Tuhan, aku tidak mahu menjadi anak yang gagal lagi. Cukuplah kegagalan2 besar lain yang aku pilih dalam hidup sebelum ini. Sekurang-kurangnya, kegagalan2 lain itu cuma menyakitkan aku, bukan insan yang meninggalkan memori kasih sayang paling besar dalam hidup ni.

Sesiapa, tak perlu fahami entry ini.. cukuplah sekadar mendoakan kesejahteraan ayah kerana banyak lagi mimpinya yang besar2 dan indah2 belum aku, anak yang sangat gagal ini sempurnakan.

Ini adalah entry yang aku tulis tahun lalu, ketika ayah terpaksa dipotong kaki kirinya kerana kencing manis.

Manalah aku tahu...

1) Pandangan sayunya kerana tidak jadi balik ke utara raya lalu kerana emak tak sihat;

2) Pesannya acapkali pada kami adik beradik supaya jangan tinggal solat;

3) Kata-katanya ini panggilan telefon terakhir;

4) Tidur di pangkuan emak yang tak pernah dilakukan sebelum ini;

5) Menyatakan kesediaan untuk 'pergi' bila-bila masa;

ADALAH YANG TERAKHIR.

20 Oktober lalu ayah pergi. Padahal malam itu dia sepatutnya tidur di rumah aku.

Dan abang, sudah mengganti tikar di rumah untuk menyambut ketibaan ayah. Sudah merencana dan terbayang-bayang kegembiraan ayah apabila dibawa ke ceramah Pas Kg Medan.

Tapi, Tuhan ada rencana lain. Tak apalah, ayah pergi setelah segala-galanya dia lunaskan.

Dia sempat hantar Ain ke sekolah hingga hari terakhir PMR, sempat berikan senarai orang yang perlu kami cari untuk bertanya jika ada hutangnya dan lebih dari itu, dia sudah memberikan bekal ilmu agama secukupnya untuk kami agar dia terhalang dari seksa di sana.

Hingga ke hari ini pun, selang beberapa hari aku akan terbangun setelah bantal basah kerana bermimpi arwah masih ada, tapi apakan daya.

Lagi pula, ayah hanya dipanggil balik oleh pemilik yang meminjamkannya kepada kami.

Saturday, September 13, 2008

Hidup memang palat - Abu

SEBUAH lukisan yang cantik mungkin terdiri daripada bauran pelbagai warna, namun lukisan yang unik dan mahal tidak mustahil hanya terhasil daripada satu atau dua warna sahaja. Jika dirujuk kepada cabang seni yang lain - seperti filem atau muzik misalannya, ketidaksempurnaan tidak semestinya bermakna sesebuah karya itu murahan.

Dalam Kami The Movie, ketidaksempurnaan mendukung semangat indie yang menjadi inti pati filem arahan pasangan suami isteri, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak. Hinggakan, serba sedikit kecacatan pada sudut teknikal dan wajah tanpa mekap Liyana Jasmay akan membuatkan kita menganggapnya sebahagian isi yang menyempurnakan filem ini. Jika yang menontonnya adalah seorang remaja urban, maka ini satu bonus untuk anda. Ini kerana, apa yang dipaparkan dalam filem ini agak dekat dengan realiti sebenar kehidupan.

Kami The Movie sebenarnya sebuah projek seni yang dibuat ‘step by step’ oleh Red Films. Bermula dengan beberapa siri gig percuma diikuti tayangan drama bersirinya di kaca TV, klimaks kepada pengikut KAMI ialah tayangan filem. Sudah tentu, apa yang terpapar dalam filem mempunyai rantaian dengan drama bersiri namun satu yang harus ditabik pada sutradara dan penulis skrip, mereka yang tidak mengikuti keseluruhan drama pun masih boleh memahami dan mengikuti perjalanan cerita tanpa masalah. Tapi sudah tentu, mereka yang mengikuti karya ini dari akarnya akan lebih menjiwai apa yang mereka tonton di layar lebar.

KAMI mengisahkan lima anak muda yang memikul masalah masing-masing. Kesemua mereka mempunyai rahsia hidup dan perasaan terpendam yang membelit hidup. Masalah keluarga, cinta, dadah dan pengaruh rakan sebaya menjadi tunjang permasalahan setiap watak. Apabila kesemua subjek dan masalah diadunkan, lahirlah sebuah karya yang mewakili apa yang berlaku pada anak muda setiap zaman.

Kisah bermula apabila Abu (Nas-T) melarikan diri dari rumah pemulihan akhlak untuk meraikan hari terakhir Lynn (Liyana Jasmay), Sofie (Juliana Evans) dan Adii (Zayanah Ibrahim) menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia mereka bersama Ali (Syarul Ezani). Sejak penyatuan kembali lima sahabat ini, hidup mereka dipenuhi ceria apatah lagi mereka berkongsi minat yang sama iaitu mendengar dan mengikuti konsert gig.

Masing-masing sebenarnya menyimpan rahsia. Lynn contohnya, sedaya upaya berahsia bahawa dia merupakan penulis sebuah kolum dalam majalah yang menggunakan nama Teka Teki setelah dia mengkritik pedas ‘band’ Ali dalam satu tulisannya. Ali pula bergelut dengan masalah keluarga setelah ibunya meninggalkan bapanya demi bersama lelaki lain. Abu terlibat dengan pergaduhan dan kecurian kerana kemarahan bapa yang tidak pernah surut, Sofie kecewa apabila ibunya tidak mahu melepaskannya hidup berdikari manakala Adii pula menghadapi kesukaran menemui pasangan hidup yang sesuai. Masalah yang melingkari hidup sekawan ini meruncing apabila ‘kisah lama’ Lynn ketika di kampung dahulu kembali menghantui hidupnya.

‘KAMI’ mungkin diangkat menjadi tajuk filem kerana penceritaan yang merujuk kepada lima anak muda ini. Dari segi lain, KAMI merupakan tajuk majalah ‘indie’ yang diusahakan oleh Lynn. Bukan itu sahaja, kaitan ‘indie’ dengan filem ini juga tercermin pada nilai bajet pembikinannya yang kurang daripada RM1 juta ringgit, jauh lebih rendah berbanding apa yang biasa dikeluarkan untuk sebuah filem arus perdana. Dengan bajet serendah itu, KAMI boleh dikatakan bergantung sepenuhnya pada kekuatan skrip dan olahan sutradara. Melihat dari sudut itu, filem ini boleh dianggap berjaya malah jauh lebih menarik jika dibandingkan dengan beberapa filem kita yang menggunakan bajet jauh lebih besar.

Ada lagi faktor yang mampu menarik minat penonton ke panggung untuk menonton KAMI selain kerana filem ini sudah menghimpun ‘fan base’ sendiri menerusi tayangan drama bersirinya sebelum ini. Tidak dapat dinafikan, ‘tagline’ nakal yang digunakan iaitu ‘Hidup memang palat, tapi esok masih ada’ pasti mengundang seribu satu pertanyaan sejauh mana relevannya ungkapan itu dengan KAMI. Sesungguhnya ‘tagline’ yang sebegitu, ditambah pula dengan dialog yang bersahaja dan semberono menjadi nilai tambah ‘indie’ bagi KAMI selain lagu-lagu nyanyian Meet Uncle Hussain, Laila’s Lounge, Bittersweet dan kumpulan underground lain *(MUH underground ke? Btw, aku rasa vokal Lan terlalu sedap untuk sebuah band undergound. Huhu!)

Oh dan sekadar nota, kalaulah KAMI keluar pawagam lewat sepuluh tahun lalu ketika gig menjadi fenomena yang jauh lebih meriah berbanding sekarang, tentu filem ini senang-senang pecah panggung!
Filem Kami The Movie akan mula ditayangkan di seluruh pawagam bermula hari raya pertama ini.


*Sian Abu (tido bawah)... dia selalu menumpang.

Blog Archive

About Me